Ulama Daerah Jempol

Thursday, August 10, 2006

Haji Azraie Haji Omar

Sekapur sirih

"Lamo anta tak datang" itulah ucapan yang selalu diucapkannya setiap kali saya sempat mengunjunginya. Haji Azraie @ Haji Azarai bin Haji Omar adalah bekas Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan 1987- 1991 dan saya pula dalam tempoh sesi tersebut diamanahkan duduk bersama dalam jawatankuasa perhubungan peringkat negeri.

Berada di bawah kepimpinan beliau, memberi peluang kepada saya untuk menimba pengalaman secara langsung dalam kerja parti dan jamaah bertunjangkan kepimpinan ulama. Lebih-lebih lagi suasana politik bercelaru dalam negara ekoran perpecahan dalam UMNO memberi momentum baru kepada Pas, Pas menjalinkan hubungan bijak dengan serpihan UMNO iaitu Semangat 46 pimpinan Ku Li. Gabungan di bawah barisan Angkatan Perpaduan Ummah ( APU) banyak memberi kelebihan kepada Pas peringkat nasional dan di beberapa buah negeri. Saya kira beliau merupakan kalangan pucuk pimpinan Pas berpendidikan agama yang pertama di negeri ini diamanahkan untuk mengetuai organisasi parti.

Berkerja dengan beliau agak mudah dan sikap toleransinya membolehkan banyak pihak berkerja di bawah pengawasan minima. Masing-masing bagai digalakkan menyumbangkan buah fikiran dan sokongan material dalam membangunkan sebuah organisasi yang masih peringkat pembangunan fasa kedua dalam kepimpinan ulama Pas. Saya kira rakan-rakan peringkat negeri waktu itu dikira mantap kerana masing-masing ada berlatar belakang pendidikan formal dan pengalaman. Namun begitu, suka duka untuk menyatukan fikrah dan membina imej bagi sebuah organisasi yang dianggotai ahli-ahli berbagai latar belakang itu pula memang mencabar. Di sanalah peranan Lujnah Tarbiyah & Kepimpinan memainkan peranan untuk berfungsi memberi ilmu dan motivasi kepada ahli-ahli parti.

Latar belakang

Haji Azraie dilahirkan pada tanggal 18 Januari 1931 di Kampung Batu Kikir. Pekan Batu Kikir cukup terkenal melalui lagu kedaerahan dengan ‘jombatan bosi’ di pinggir pekan kecil itu. Di sini juga tempat kelahiran Pendeta Zaaba dan peristiwa bersejarah “Perang Batu kikir” selepas era pemerintahan Jepun 1945.

Beliau mendapat didikan awal persekolahan di Sekolah Melayu Batu Kikir hingga darjah enam. Kemudian menyambung pelajaran agama di Pondok Merbuk Bedung, kedah dalam tahun 1946 hingga 1949. Pada akhir tahun 1949, beliau menunaikan haji bersama bapa dan ibunya. Lantaran keinginan keluarganya untuk menjadikan anaknya faqeh dalam agama, maka Azraie terus bermastautin di tanah haram menuntut di Maahad Al Falah untuk beberapa tahun sebelum menyambung pengajian di Maahad Al Helmi Al Saudi.

Sifat kepimpinan beliau terselah semasa menuntut di Mekah itu, Haji Azraie bergiat aktif dalam persatuan penuntut-penuntut Tanah Melayu yang dikenali Gabungan Pelajar islam seTanah Melayu ( GAPIS) dan salah seorang pengasas Persatuan Al Fata.

Balik Kampung

Menjelang kemerdekaan, Haji Azraie kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru secara sukarela di sekolah Agama Rakyat Lonek, Batu Kikir. Pada 1 Julai 1959, beliau berkhidmat sepenuh masa di Sekolah Menengah Rendah Agama Repah, Tampin. Kemudian kembali mengajar di Lonek pada 1 Jun 1965. Sepuluh tahun kemudian di arahkan mengajar pula ke Sekolah Agama Menengah Rendah Jempol dan terakhir di Sekolah Agama Serting. Beliau bersara wajib pada 18 Januari 1986.

Bergiat dalam PAS

Selepas bersara, Haji Azraie mula bergiat dalam Parti Islam SeMalaysia ( PAS). Beliau diamanahkan mengetuai Ketua Cawangan Kampung Cacar, Yang Dipertua Kawasan Jempol, Ketua Dewan Ulama Negeri Sembilan dan menerima watikah sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan 1988-1991. Haji Azraie pernah bertanding mewakili PAS dalam pilihanraya 1986 bagi DUN Batu Kikir dan beliau tidak dapat menumpukan sepenuh tenaga dalam kempen pilihanraya tersebut kerana menunaikan fardhu haji di Mekah al Mukarramah.

Kini walaupun tidak lagi bergiat aktif dalam parti, Haji Azraie terus mengelik kitab menyampai ilmu agama. Surau beliau di hadapan rumahnya terus diimarahkan dengan kuliah pengajian. Dua dari sebelas anaknya berjaya meneruskan pengajian di Al Azhar dan perjuangannya dalam jamaah kini diwarisi oleh sebahagian anak-anaknya.
.
Nota:
Penyusun ingin merakamkan di sini ingatan suka-duka bersama beliau dalam BPPNS dan tidak lupa juga kepada sahabat-sahabat lama yang masih kental dalam perjuangan seperti saudara Md Nor Omar ( x- Ketua Pemuda DPPNS), Cikgu Arshad Md Som, Sdr Razali Jusoh, Abd Karim Shahimi, Zakaria Khalim dan ramai lagi yang terlupa dalam memori penyusun gara-gara usia serta masa yang semakin jauh meninggal alam kepemudaan. Pengalaman makan setalam, usrah bersama dan memanjat tiang lampu di waktu pilihanraya adalah mutiara kenangan lampau. Semoga Allah memberkati usaha kita. Amin.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home