Ulama Daerah Jempol

Tuesday, March 14, 2006

Guru Pondok Jempol



Haji Abdul Majid Abdul Karim ( 1906 – 1978)
.
Latar Belakang
.
Tuan Haji Abdul Majid adalah anak kampung dari Kuala Rembang Panas, Juasseh dalam Daerah Kuala Pilah. Beliau dilahirkan dalam tahun 1906 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Juasseh hingga tamat Darjah Enam. Semasa di bangku sekolah, beliau mula menunjukkan kecerdasannya dalam pelajaran. Ini menyebabkan guru-guru di sekolahnya menyarankan supaya Abdul Majid melanjutkan pelajaran di sekolah Inggeris di Kuala Pilah, namun kedua ibu bapanya tidak merestui cadangan tersebut kerana beranggapan bersekolah aliran Inggeris akan mengkristiankan orang-orang Islam.
.
Mengaji Pondok
.
Apabila meningkat remaja, anak bujang ini membantu bapa saudaranya Tuan Haji Bador Menuang ke Pahang yang berkerja sebagai jurukur di Hutan Pahang. Walau bagaimanapun, beliau telah jatuh sakit dan dibawa balik ke kampungnya. Setelah sihat beliau telah mendapat restu keluarganya untuk belajar agama dengan Tuan Haji Muhamad Haji Mustaffa, Kuala Jempol selama 3 tahun ( 1923 – 1925). Kecerdasan dan kebolehannya ketika menuntut diakui sendiri oleh Tuan Gurunya.
.
Selepas menuntut dengan Haji Muhamad Mustaffa, beliau memondok pula di Sik, Kedah selama 4 tahun ( 1925 – 1928). Dijangkakan beliau memondok ke sini atas seranan Tuan Haji Muhamad sendiri kerana berdasarkan kisahnya, Haji Muhamad pernah belajar ke Sik. Apabila ada peluang ke Mekah, Haji Abdul Majid mengambil kesempatan mengikuti kuliah-kuliah di Masjidil Haram yang disampaikan oleh ulama terkemuka Mekah ketika itu. Sebagaimana yang kita sedia maklumi, awal abad ke 20an itu ramai penuntut-penuntut dan ulama tanah Jawi berkampung di sana. Beliau mengasaskan Pusat Pengajian Tinggi Darul Ulum Makkah Al Mukarramah bersama-sama rakan-rakannya. Haji Abdul Majid akhirnya berjaya mendapat Syahadah Al Aliah Tinggi dari Institusi ini. Antara guru-guru beliau ialah Sheikh Hassan Masyhat, Sheikh Zaharuddin, Sheikh Muhsin dan lain-lain lagi.
.
Terpaksa balik kampung
.
Diberitakan Allahyarham Abdul Majid hanya sempat menuntut selama 7 tahun sahaja di Mekah kerana terpaksa balik ke tanahair dalam tahun 1935 oleh sebab masalah keluarga. Di kampungnya beliau mula mengajar agama di Madrasah Kuala Rembang Panas dan mendirikan pondok di sana. Oleh kerana tempat itu agak kurang sesuai dan terbatas untuk mempergiatkan dakwahnya, maka dalam tahun 1936 beliau telah berpindah ke Batu Kikir. Almarhum Tuanku Abdul Rahman YDP Besar telah menganugerahkan sebidang tanah seluas 4 ekar kerana jasa beliau mengajar agama dan Bahasa Arab setiap minggu di istana. Beliau juga turut dilantik sebagai penasihat DYMM Tuanku.
.
Bina Pondok
.
Di kawasan baru inilah Allahyarham memulakan kariernya menyampai dan mengajar ilmu agama secara sistem pondok dengan lebih berkesan. Dikatakan lebih 500 orang penuntut dari serata tempat datang berguru dengannya. Mata pelajaran yang diajar adalah seperti Bahasa Arab, Fiqh, Usulludin, Mantik, Balaghah dan sebagainya. Bagaimanapun, Allahyarham lebih menitik beratkan pelajaran ibadah dalam bentuk teori dan praktikal. Sholat berjamaah setiap waktu diwajibkan. Para pelajarnya juga diwajibkan menutup aurat. Bagi pelajar lelaki, mereka dikehendaki berketayap putih dan bercukur kepala.
.
Pondok ini dikenali namanya Madrasah Al Majiddiah Ad Dinniah, Kampung Baru Batu Kikir. Perasmiannya telah disempurnakan oleh Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibnu Tuanku Muhammad pada tahun 1937. Allahyarham juga aktif dalam mengembangkan dakwah Islamiiah secara sukarela di Daerah Jempol dan Kuala Pilah. Perkembangan pondoknya telah tergendala apabila berlaku perang dunia kedua dan ramai pelajarnya terpaksa pulang ke kampung halaman masing-masing. Selepas perang pula kerajaan negeri mula memperkenalkan struktur persekolahan agama secara tersusun, ini menyebabkan operasi pendidikan ala pondok beliau kurang mendapat sambutan.
.
Perlu juga dirakamkan bahawa dalam era tahun 1950an atau selepas merdeka, penekanan kepada pengajian agama di negeri ini agak lemah dan ibu bapa lebih berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah bantuan kerajaan seperti sekolah aliran Inggeris dan Melayu. Anggapan bahawa pendidikan di sekolah Arab/ Agama tidak menjanjikan kerjaya yang baik di masa hadapan. Bagi memanfaatkan madrasah sediada, pondok-pondok yang ada telah didiami oleh oleh 30 orang perempuan tua atau ibu tunggal. Di sini mereka menjalani aktiviti keagamaan seperti pendidikan sholat dan kuliah-kuliah agama.
.
Photo: Bangunan asal pondok
.
Sikap beliau
.
Allahyarham memang tegas dalam menentang amalan yang tidak selari dengan agama. Beliau banyak tidak menyetujui beberapa amalan adat perpatih yang dianggapnya berlawanan dengan hukum Islam. Misalnya, larangan berkahwin sesama suku tidak diindahkannya apabila beliau berkahwin dengan isterinya dari suku yang sama iaitu suku Tanah Datar. Kepercayaan karut seperti keturunan akan cacat diwar-warkan oleh pengamal adat. Malah beliau menafikan tuntutan adat supaya denda dibayar jika berkawin satu suku dan cara pembahagian harta pusaka.
.
Amalan ini jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam. Beliau juga tidak akan menghadiri diri dalam majlis-majlis yang terdapat unsur-unsur yang melalaikan seperti majlis perkahwinan yang diiringi permainan muzik. Dalam kegiatan politik tanahair pula, difahamkan Allahyarham tidak pernah memasuki mana-mana parti politik dan membicarakannya dalam kuliah-kuliahnya. Tetapi dikatakan beliau menolak parti yang berteraskan isme-isme yang menyalahi syariat Islam. Beliau tidak berminat untuk berkerja dengan mana-mana pihak kerana lebih cenderung untuk berdikari dalam mengembangkan syiar Islam secara lebih berkesan. Walau bagaimanapun, beliau diminta oleh Tuanku Abdul Rahman untuk mengajar agama di Istana setiap minggu.
.
Pernah Allahyarham menganggotai Jawatankuasa Syariah dan Majlis Fatwa negeri setelah dipujuk oleh Sheikh Haji Ahmad mufti kerajaan ketika itu. Dikatakan beliau hanya berkhidmat untuk beberapa tahun sahaja kerana tidak mahu terlibat dengan fatwa-fatwa yang yang dianggapnya tidak menepati pegangannya. Misalnya, beliau tidak setuju bertaqlid kepada satu-satu mazhab untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Dia lebih cenderung untuk berpegang kepada Mazhab As Syafieah sahaja untuk mengelakkan berlaku perpecahan di kalangan masyarakat negeri ini. Allahyarham sangat kuat beribadah dan doa-doa beliau selalu dimakbulkan Allah SWT.
.
Allahyarham meninggal dunia pada hari selasa petang pada 2 Mei 1978 bersamaan 24 Jamadil Awal 1398 hijrah ketika berusia 74 tahun. Sebagai mengenang jasa beliau dalam aktiviti keagamaan ini maka kerajaan telah menganugerah Tokoh Maal Hijrah pada 1416H bersamaan tahun 1995. Beliau telah meninggalkan seorang balu iaitu Puan Hajah Khairiah Hamzah dan 5 orang anak. Anak keduanya Salma binti Haji Abdul Majid ( lahir 16-3-39) telah berkahwin dengan LebaiAhmad @ Muhamad bin Haji Lasim atau dikenali sebagai Tuan Guru Haji Ahmad Kepis, yang terkenal sebagai guru tasawuf dan sholeh. Beliau meninggal dunia pada 26 Januari 2003 di Kampung Kuala Rembang Panas, Kuala Pilah.
.
Anak lelakinya pula bernama Haji Ahmad bin Haji Abdul Majid telah mengambil inisatif untuk menghidupkan semula pusat pengajian yang diasaskan oleh bapanya ini. Madrasah atau Kampung Pondok ini sekarang telah dibangunkan Kolej Islam Al Majidiah ( KIAM) dan beliau adalah Pengetua bagi Kolej tersebut. Antara kursus yang ditawarkan oleh KIAM ialah pengajian peringkat Pra-Diploma Pengajian Islam & Bahasa Arab dan Peringkat Diploma dalam jurusan Syariah/ Usuluddin.
.
Menurutnya, kolej ini dalam proses bergabung dengan Istitiut Pengajian Ar Razi Pulau Pinang yang telah memperolehi pengiktirafan dari Universiti Al Azhar. Sesiapa yang berminat untuk menuntut di sini bolehlah menghubungi Pentadbir Kolej di alamat berikut:
.
Kolej Islam Al Majidiah
Jalan Bahau
72200 Batu Kikir,
Negeri Sembilan.
Tel: 06 – 4985408 ( Fax. 06- 4981564)

8 Comments:

At 6:54 PM, Blogger NINA AINN said...

Assalamualaikum

Terbaca nama Tuan Haji Bador Menuang...kalau tak silap, allahyarham adalah datuk saya..

Teringat semula kenangan manis masa kecil kecil bercuti di Batu Kikir..

Fatihah untuk datuk ku..

 
At 6:43 AM, Blogger Ibn Salleh. said...

Tuan Haji Majid guru saya bersama cucunya Ustaz Hj Zuhaidi Hj. Abd. Wahab.Saya memanggilnya Pak Ulong kerana beliau ialah sepupu Arwah ayah saya Hj.Mohd Salleh.Surau beliau kini sudah tak berfungsi lagi macam dulu.Sayang sekali kerana Ustaz Hj. Ahmad masih menjadi Imam Masjid Bt.Kikir dan tak mahu meneruskan kerja dakwah seperti Almarhum ayahnya.Al Fatihah untuk guru ku.

 
At 9:08 PM, Blogger Unknown said...

Assalamualaikum...
khas untuk en hanif...
siapa kata surau majidiah tak berfungsi ? pernah dtg dan tgok sendiri situasi sekarang ini.....? yang saya tahu..en. hanif tak pernah pun datang solat berjemaah disini..dan kenapa pula sanggup menuduh secara melulu kepada tn. hj. ahmad anak kepada tn. hj. abdul majid? setahu saya...boleh dikatakan sentiasa ada aktiviti pada hari jumaat dan program selain daripadanya. dan segala program yang dijalankan ini yang melaksanakan adalah tn. HJ. AHMAD....Walaupun tuan hj.ahmad mempunyai komitmen yang banyak terhadap tugas sebagai imam dan aktiviti yang lain tetapi dia tak pernah lupa dengan surau peninggalan ayahnya. kenapa en. hanif sanggup membuat pembohongan dalam blog ini? seolah-olah mahu menjatuhkan maruah keluarga hj.abdul majid dan juga hj.ahmad ? mana profesionalnya en. hanif sebgai orang umat Islam....?? dan saya mahu en. hanif tukarkan ulama menuang kepada ulama hj. abdul majid. itu yang sebenarnya...!!menuang bukan ulama yer..!!!dia hanyalah datuk kepada hj.abdul majid...?saya rasa ramai yang bersetuju dengan saya....fikirlah balik...jangan pandai-pandai pula mencipta nama..kemudian memburukkan keadaan....sekian.terima kasih...hanya allah sahaja yang membalas pertuduhan sedemikian..allahuakbar!3x

 
At 9:12 PM, Blogger Unknown said...

EN.HANIF,
MINTA FUKAR BLOG PETIKAN ULAMA MENUANG KEPADA ULAMA HJ.ABDUL MAJID.....

 
At 7:16 PM, Blogger Warigh Menuang. said...

Waalaikumussalam Saudara Jidar,
Nampaknya saudara begitu beremosi dan menganggap saya menuduh yang bukan2 terhadap Tn Hj Ahmad.Yg saya maksudkan ialah ia tidak lagi spt dahulu di mana terdapat warga emas yg menduduki asrama utk pengajian agama.Begitu juga dgn solat Tarawikh, boleh dibilang berapa kerat saja yg ada, dan siapa Imamnya?Kenapa orangramai lari ke surau Tn Hj Hassan sewaktu bulan puasa utk bertarawikh, itu perlu difikirkan.Begitu juga dgn nama ulama Menuang, maksud saya beliau adalah dari keluarga Menuang juga sebagai ulama tersohor.

 
At 3:52 AM, Blogger razi70 said...

Jidar ni tak tengok sendiri ko apo jadi dengan surau tu?dulu nak buek kolej, kutip duit orang, tak ado penyato kiro2, kolej entah ke mano, duit pun losap.Kek masjid batu kikir tu ramai tak gomar lai hj ahmad jadi Imam, patut bori peluang kek orang mudo pulak.ramai org kek kampung tu tak ondak lai poi surau kek darek sobab tak ado lai tuan guru eh.buek program lopeh tu kutip duit orang, apo bondo eh tu...anak buah eh pun marah kek dio.boto kato saudara hanif tu, ramai orang lari poi surau hj hassan, pikirlah sendiri.dulu maso tuan hj majid jago, orang tang jauh pun ramai datang tapi sekarang ni, musim rayo pun tak ado yang nak poi.den rumah dokek dengan pondok pun lari poi surau hj hassan kalau balik rayo.kalau hari jumaat den poi masjid taman tuanku puan chik kek bahau sobab tak ondak berimamkan hj ahmad.kang den bukak cerito hj ahmad jual tanah kek dato' khalid baru kau tahu.den duduk soromban banyak tahu kisah hj ahmad, kau jangan main-main.

 
At 3:45 PM, Blogger razi70 said...

satu lai Jidar.Tu kek gambar ateh ado papan tando kolej, mano deh kolej ehh....yang den tengok banyak bosi tercacak kan membazir namo ehh...kok tak ado duit janganlah buek dulu bosi tu.abah den kato, achik munzir marah boto sobab tanah ehh ditanam sorai, sapo yg tanam dan jual...duit poi mano?2 tahun dulu den dengan abah den poi semayang rayo kek surau tu, kipeh pun tak berpusing, pembosar soro tak berfungsi, apo namo ehh tu.nasib baik ado anak2 hj wahab jago surau tu, nak harapkan hj ahmad keluar duit, rontikan lah.kalau kau nak jumpo den datang kek balai soromban, tanyo sapo deh razi.den buleh bawak org2 yg tak pueh hati sobab kono tipu.

 
At 6:59 PM, Blogger tok pahat said...

This comment has been removed by the author.

 

Post a Comment

<< Home